Mengaku buang bayi

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaku melahir dan menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan di asrama universiti itu di Chendering pada 29 Januari 2008 lalu.
Ketika membuat pengakuan, tertuduh, Zarina Sulaiman, 22, kelihatan tenang di kandang tertuduh di hadapan Majistret Mohd Yusof Yunus di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan dengan secara rahsia membuang mayat seorang bayi yang dilahirkannya sama ada bayi itu mati sebelum, selepas atau ketika dilahirkan.

Sebaik pengakuan dibuat, Mohd Yusof kemudian meminta pihak pendakwaan mengemukakan laporan sosial dan menetapkan 26 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan itu antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 29 Januari 2008 di asrama Sutera universiti berkenaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin berkenaan dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Marzita Subaker.

Harian Metro 1 Februari 2008 menyiarkan kes penemuan mayat bayi perempuan yang ditemui dengan kesan separuh terbakar di tempat pembuangan sampah asrama universiti berkenaan.

Penemuan menyayat hati itu dilaporkan seorang tukang sapu yang melihat objek pelik ketika melakukan tugasan rutinnya pada hari kejadian.

Pekerja berkenaan menemuinya selepas curiga kerana sampah yang dibakarnya seperti sebelum ini tidak disambar api menyebabkan dia menjalankan pemeriksaan rapi dan menemui mayat yang cukup sifat dalam longgokan berkenaan.

Berikutan penemuan itu, satu laporan dibuat sebelum polis menjalankan siasatan terhadap semua penghuni asrama yang kemudiannya membawa kepada penahanan tertuduh. SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan