Lebih 365 wanita terbabit kes keldai dadah


KUALA LUMPUR: Lebih 365 wanita rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit menjadi "keldai dadah" sejak hampir 20 tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Senator A Kohilan Pillay berkata, jumlah itu adalah lebih separuh daripada 729 rakyat Malaysia yang ditahan atas kesalahan dadah di luar negara. "Sejak 1991 hingga Mac 2010, sebanyak 1,560 kes dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan jenayah, termasuk 729 kes kesalahan dadah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar.
Kohilan berkata, sebuah Tabung Amanah Rakyat Malaysia diwujudkan bagi memberi bantuan guaman dan kewangan melalui perwakilan-perwakilan Malaysia serta membawa pulang rakyat Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan.

Bagi menangani gejala "keldai dadah", beliau menggesa agensi-agensi berkaitan seperti Kastam, Imigresen dan Polis supaya mengetatkan lagi kawalan keselamatan di semua pintu keluar masuk lapangan terbang antarabangsa di negara ini. "Di pihak kementerian, Wisma Putra baru-baru ini menerusi siaran langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) dalam segmen dialog keldai dadah telah menasihati terutamanya ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak atau teraniaya dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan," katanya. -Bernama SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan