Dua pelajar menang tempat pertama reka cipta sains di China


BUKIT MERTAJAM: Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) di sini yang mewakili Malaysia pada pertandingan Reka Cipta Sains Remaja Beijing di China baru-baru ini mengharumkan nama negara selepas memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

Mas Aidil Mas Rosemal Hakim, 18 dan Nurein Ardini Samsuri, 16, memperoleh kejayaan itu menerusi hasil ciptaan mereka yang dikenali sebagai MoBanT Fibre, iaitu serat daripada batang pisang yang mampu menyerap minyak dalam air bagi mengelak pencemaran alam sekitar terutama di laut.
Menurut Nurein mereka mendapat ilham untuk mencipta produk itu selepas melawat rumah Mas Aidil yang mana ibu bapanya hanya membuang begitu sahaja batang pisang selepas mengambil buahnya.

"Jadi, kami pun membuat kajian mengenainya dan mengambil masa selama satu tahun setengah untuk melakukan proses penyelidikan dan kajian (R&D) dengan bantuan pelbagai pihak antaranya Universiti Sains Malaysia (USM) serta guru penasihat, Go Seow Ann," katanya pada sidang akhbar di SMSTSSS di sini hari ini.

Selain tempat pertama, pasangan berkenaan turut memenangi anugerah istimewa daripada Syarikat Semia, sebuah syarikat di China, pada pertandingan yang menyaksikan sebanyak 1,268 projek mengambil bahagian.

Pertandingan anjuran Beijing Association for Science and Technology itu disertai pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan New Zealand dan Australia yang berlangsung pada 17 hingga 23 Mac lalu. SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan