Dua peniaga ke tali gantung kerana dadah

SHAH ALAM: Seorang penjual sayur dan seorang penjual ikan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3,000 biji pil khayal Ecstasy seberat 248.4 gram dan 88.6 gram ketamin tiga tahun lalu.


Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa Tong Chong Men, 48, dan Cheah Choon Heng, 39, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.


Seramai lapan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Afifuddin Hafifi dan Dzaki Ezhar Bahar.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 930 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan Jasmani Othman, 40, dan Abdul Hamid Ali Sadari, 29, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada hari kejadian iaitu 18 Disember 2007.

Jasmani, seorang tukang paip, dan Abdul Hamid, juruteknik, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan lapang di Batu 1, Jalan Paip, Meru, Klang dekat sini pada 10.15 malam 18 Disember 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Rosal Azimin Ahmad.  Sumber

0 ulasan:

Catat Ulasan