15 syarikat bas diambil tindakan

SEHINGGA 31 Mac lalu, sebanyak 15 syarikat bas ekspres dikenakan tindakan termasuk tiga syarikat dibatalkan lesen, empat syarikat digantung lesen, manakala lapan syarikat lagi diberi amaran selepas terbabit dalam kemalangan maut.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata syarikat dikenakan tindakan itu diarah membuat penambahbaikan ke atas sistem pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen berpandukan kepada Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE).
“Bagi tempoh lima tahun sejak 2005 hingga 2009, 1,325 lesen bas ekspres dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Semenanjung.

“Mulai Ogos 2007, LPKP mengambil tindakan tegas ke atas syarikat bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan maut melalui penubuhan Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Maut.

“Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Pengerusi LPKP dan diwakili Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) manakala LPKP sebagai urusetia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, semalam.

Liew berkata, buat masa ini, pelaksanaan kod amalan itu dijadikan sebagai salah satu syarat lesen yang wajib dipatuhi pengusaha bas ekspres.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan semua pengusaha menitikberatkan aspek keselamatan kenderaan supaya orang ramai dapat menggunakan pengangkutan awam dengan selamat dan selesa.

“Kesan daripada tindakan itu menunjukkan penurunan bagi jumlah kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres. “Statistik menunjukkan enam kes berlaku pada 2007 (termasuk kes sebelum Ogos), 10 kes pada 2008, tiga kes pada 2009 manakala tiada kes sehingga 31 Mac tahun ini,” katanya. SUMBER

0 ulasan:

Catat Ulasan