SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Bangladesh mampu hidup mewah dengan melakukan penipuan licik apabila memalsukan pasport Bangladesh sebelum dijual kepada warganegara terbabit yang masuk secara haram ke negara ini.
Lelaki yang berusia 30-an menjual pasport palsu dengan harga RM1,000 setiap satu kepada warganegara asing dan difahamkan ia dijual kepada warga asing tertentu saja bagi mengelak kelakuan liciknya diketahui umum.
Dia yang turut menggunakan pasport palsu menjadikan sebuah rumah di Pangsapuri Sri Begonia, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, sebagai markas sejak memasuki negara ini empat tahun lalu.
Bagaimanapun, kerja jahat lelaki Bangladesh terbabit dihidu Jabatan Imigresen Selangor sebelum serbuan dibuat di rumah suspek di tingkat dua pangsapuri itu jam 12.45 pagi, semalam.
Dalam operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi, bahagian penguat kuasa imigresen terpaksa menyamar sebagai penagih dadah yang ingin menjual telefon bimbit kepada suspek sebelum membongkar sindiket pemalsuan pasport antarabangsa itu.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Johari Yusof, berkata pemeriksaan dalam sebuah bilik menemui beberapa cop keselamatan kedutaan Bangladesh, peralatan untuk memproses dokumen palsu dan sejumlah wang dalam pelbagai mata wang.
“Selain suspek, turut berada dalam rumah terbabit dua lelaki juga warganegara Bangladesh. Hasil soal siasat mendapati dua lelaki terbabit memasuki negara ini secara sah dan mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
“Kita turut menemui tiga pasport Bangladesh yang sudah siap diubahsuai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Johari berkata, berdasarkan modus operandi, pihaknya yakin lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan suspek lain dan Jabatan Imigresen sedang menyiasat sejauh mana ia beroperasi.
“Suspek ditahan mengikut Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kesalahan suspek ialah, memiliki dan menyimpan pasport orang lain dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 dan memalsukan pasport disiasat mengikut Seksyen 12B Akta Pasport 1966.
“Jika sabit kesalahan denda tidak kurang RM15,000 dan maksimun RM100,000, penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan tidak lebih enam kali,” katanya. SUMBER
0 ulasan:
Catat Ulasan