Hanya kerana RM300 sarjan dipenjara 18 bulan, denda RM10,000


IPOH: Hanya kerana menerima suapan RM300 seorang anggota polis berpangkat Sarjan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu hari ini selepas Megat Ahmad Megat Jaafar, 55, yang dibicarakan dan didapati bersalah menerima suapan itu daripada Rosli Baharom supaya memberitahu keluarga (Rosli) bahawa Rosli sedang ditahan polis kerana memiliki dadah.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Narkotik, Balai Polis Sitiawan didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Idris Shah, Manjung pada 1.35 tengah hari pada 7 Julai 2005.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan hukuman ke atas tertuduh yang dibuat peguam Abdul Roni Rahman yang mewakilinya kerana mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Azhaniz Teh menetapkan ikat jamin tertuduh sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin baru. Sebelum itu, Abdul Roni memohon kepada mahkamah supaya mempertimbangkan kepentingan awam serta kepentingan peribadi tertuduh yang berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan polis sebelum menjatuhkan hukuman yang setimpal.

"Jumlah yang terbabit hanya RM300 tetapi akibat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, denda dan hukuman penjara yang akan dijatuhkan mengganggu fikiran dan kesihatannya. Tertuduh juga akan kehilangan ganjaran dan faedah berpencen yang merupakan satu bentuk hukuman secara tidak langsung." katanya.


Pegawai Pendakwa SPRM Hamzah Mohd Aris bagaimanapun berkata, rasuah adalah satu jenayah yang serius dan hukuman yang berat perlu dijatuhkan berdasarkan falsafah dan tujuannya.

"Tertuduh juga seorang anggota penguatkuasa yang sering digeruni tetapi dengan mengamalkan rasuah ia menjejaskan imej baik pasukan polis. Jadi pendakwaan memohon mahkamah tidak meletakkan asas simpati dalam menjatuhkan hukuman," katanya.

Hukuman berat yang dikenakan juga akan menghantar mesej kepada orang awam bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan jenayah rasuah ini, katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan