15 syarikat bas diambil tindakan

0 ulasan
SEHINGGA 31 Mac lalu, sebanyak 15 syarikat bas ekspres dikenakan tindakan termasuk tiga syarikat dibatalkan lesen, empat syarikat digantung lesen, manakala lapan syarikat lagi diberi amaran selepas terbabit dalam kemalangan maut.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata syarikat dikenakan tindakan itu diarah membuat penambahbaikan ke atas sistem pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan, pengurusan perjalanan dan risiko serta pengurusan dokumen berpandukan kepada Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE).
“Bagi tempoh lima tahun sejak 2005 hingga 2009, 1,325 lesen bas ekspres dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Semenanjung.

“Mulai Ogos 2007, LPKP mengambil tindakan tegas ke atas syarikat bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan maut melalui penubuhan Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Maut.

“Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Pengerusi LPKP dan diwakili Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) manakala LPKP sebagai urusetia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan kepada soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat, semalam.

Liew berkata, buat masa ini, pelaksanaan kod amalan itu dijadikan sebagai salah satu syarat lesen yang wajib dipatuhi pengusaha bas ekspres.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan semua pengusaha menitikberatkan aspek keselamatan kenderaan supaya orang ramai dapat menggunakan pengangkutan awam dengan selamat dan selesa.

“Kesan daripada tindakan itu menunjukkan penurunan bagi jumlah kes kemalangan maut membabitkan bas ekspres. “Statistik menunjukkan enam kes berlaku pada 2007 (termasuk kes sebelum Ogos), 10 kes pada 2008, tiga kes pada 2009 manakala tiada kes sehingga 31 Mac tahun ini,” katanya. SUMBER
More

Mat Bangladesh mewah jual pasport palsu

0 ulasan
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Bangladesh mampu hidup mewah dengan melakukan penipuan licik apabila memalsukan pasport Bangladesh sebelum dijual kepada warganegara terbabit yang masuk secara haram ke negara ini.
Lelaki yang berusia 30-an menjual pasport palsu dengan harga RM1,000 setiap satu kepada warganegara asing dan difahamkan ia dijual kepada warga asing tertentu saja bagi mengelak kelakuan liciknya diketahui umum.
Dia yang turut menggunakan pasport palsu menjadikan sebuah rumah di Pangsapuri Sri Begonia, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, sebagai markas sejak memasuki negara ini empat tahun lalu.

Bagaimanapun, kerja jahat lelaki Bangladesh terbabit dihidu Jabatan Imigresen Selangor sebelum serbuan dibuat di rumah suspek di tingkat dua pangsapuri itu jam 12.45 pagi, semalam.

Dalam operasi yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Johari Supardi, bahagian penguat kuasa imigresen terpaksa menyamar sebagai penagih dadah yang ingin menjual telefon bimbit kepada suspek sebelum membongkar sindiket pemalsuan pasport antarabangsa itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Johari Yusof, berkata pemeriksaan dalam sebuah bilik menemui beberapa cop keselamatan kedutaan Bangladesh, peralatan untuk memproses dokumen palsu dan sejumlah wang dalam pelbagai mata wang.

“Selain suspek, turut berada dalam rumah terbabit dua lelaki juga warganegara Bangladesh. Hasil soal siasat mendapati dua lelaki terbabit memasuki negara ini secara sah dan mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

“Kita turut menemui tiga pasport Bangladesh yang sudah siap diubahsuai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Johari berkata, berdasarkan modus operandi, pihaknya yakin lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan suspek lain dan Jabatan Imigresen sedang menyiasat sejauh mana ia beroperasi.

“Suspek ditahan mengikut Akta Pasport 1966 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kesalahan suspek ialah, memiliki dan menyimpan pasport orang lain dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 dan memalsukan pasport disiasat mengikut Seksyen 12B Akta Pasport 1966.

“Jika sabit kesalahan denda tidak kurang RM15,000 dan maksimun RM100,000, penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan tidak lebih enam kali,” katanya. SUMBER
More

PKR calon Zaid Ibrahim

0 ulasan
HULU SELANGOR: Pakatan Rakyat (PR) mencalonkan Zaid Ibrahim, 59, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, 25 April ini.
Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan nama Zaid yang juga penyelaras parti dalam PR di Dewan Komuniti Serendah di sini, jam 11 malam tadi.
Hadir sama, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pemimpin parti itu dan dihadiri lebih 3,000 penyokong.

Menurut Anwar, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri diyakini mampu meraih kemenangan besar mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. "Saya yakin pengundi Hulu Selangor akan memilih Zaid dalam pilihan raya kecil itu nanti. Bersama-samalah kita nanti keputusan yang berpihak kepada Pakatan Rakyat,” katanya. Zaid dilahirkan di kampung Cat, Bachok, Kelantan. Beliau berkelulusan dalam bidang undang-undang menubuhkan firma guaman Zaid & Co.

Beliau kini adalah penyelaras parti dalam komponen PR. SUMBER
More

Mengaku buang bayi

0 ulasan
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaku melahir dan menyembunyikan kelahiran seorang bayi perempuan di asrama universiti itu di Chendering pada 29 Januari 2008 lalu.
Ketika membuat pengakuan, tertuduh, Zarina Sulaiman, 22, kelihatan tenang di kandang tertuduh di hadapan Majistret Mohd Yusof Yunus di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan dengan secara rahsia membuang mayat seorang bayi yang dilahirkannya sama ada bayi itu mati sebelum, selepas atau ketika dilahirkan.

Sebaik pengakuan dibuat, Mohd Yusof kemudian meminta pihak pendakwaan mengemukakan laporan sosial dan menetapkan 26 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan itu antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 29 Januari 2008 di asrama Sutera universiti berkenaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin berkenaan dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Marzita Subaker.

Harian Metro 1 Februari 2008 menyiarkan kes penemuan mayat bayi perempuan yang ditemui dengan kesan separuh terbakar di tempat pembuangan sampah asrama universiti berkenaan.

Penemuan menyayat hati itu dilaporkan seorang tukang sapu yang melihat objek pelik ketika melakukan tugasan rutinnya pada hari kejadian.

Pekerja berkenaan menemuinya selepas curiga kerana sampah yang dibakarnya seperti sebelum ini tidak disambar api menyebabkan dia menjalankan pemeriksaan rapi dan menemui mayat yang cukup sifat dalam longgokan berkenaan.

Berikutan penemuan itu, satu laporan dibuat sebelum polis menjalankan siasatan terhadap semua penghuni asrama yang kemudiannya membawa kepada penahanan tertuduh. SUMBER
More

Serang tadika

0 ulasan
ALOR GAJAH: Seorang guru wanita bersama empat muridnya mengalami detik mencemaskan apabila dua lelaki bersenjatakan parang menceroboh Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) Perpaduan di Taman Bukit Rembia di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa yang berusia 50 tahun dipercayai menunggu ibu bapa empat murid berkenaan apabila tiba-tiba muncul dua lelaki berusia 30-an yang menaiki sebuah kereta Proton Wira dengan membawa senjata tajam.
Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin, berkata sebelum kejadian, guru berkenaan berada di luar pagar tadika untuk menemani empat muridnya menunggu ibu bapa masing-masing.

Menurutnya, tiba-tiba muncul sebuah kereta hitam dinaiki tiga lelaki berhenti di hadapan mereka.

Umar berkata, berikutan itu polis kini giat memburu tiga suspek terbabit dan kes masih dalam siasatan berikutan penjenayah terbabit dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

“Guru wanita berkenaan tidak mengesyaki apa-apa sehingga keluar dua lelaki dengan seorang daripada mereka membawa sebilah parang yang mengugut mangsa menyerahkan barang berharga. “Akibat bimbang keselamatan muridnya dicederakan, guru berkenaan terpaksa akur dan mengikut arahan suspek yang kemudian mengarahkan mereka masuk dalam tadika.

“Suspek meminta barang kemas yang dipakai guru itu seperti rantai leher dan gelang tangan selain wang tunai sebelum melarikan diri dengan memecut kenderaan yang menunggu di luar tanpa mencederakan semua mangsa terbabit. Kejadian membabitkan kerugian kira-kira RM6,000,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Umar berkata, berikutan itu polis kini giat memburu tiga suspek terbabit dan kes masih dalam siasatan berikutan penjenayah terbabit dipercayai menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. SUMBER
More

Lelaki ditikam mati kejar penjenayah

0 ulasan
KUALA LUMPUR: Mengerikan walaupun ditikam bertubi-tubi dengan pisau di beberapa bahagian tubuhnya, seorang pemuda yang berlumuran darah masih mampu bangkit dan mengejar kumpulan penjenayah yang menyamun duit dan telefon bimbitnya sejauh beberapa meter sambil menjerit meminta pertolongan.
Namun, pemuda terbabit rebah sebelum menghembuskan nafas terakhir disaksikan beberapa orang di tempat kejadian berhampiran bangunan Wisma Sime Darby, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, Jumaat lalu, mangsa yang terbaring tidak sedarkan diri sempat dilihat beberapa pengguna jalan raya yang berhenti di lampu isyarat di kawasan itu.

Menurut seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Alias, 30-an berkata, dia bersama rakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dengan menunggang motosikal sebelum berhenti berhampiran lampu isyarat di kawasan kejadian.

“Ketika itu saya melihat sekumpulan lelaki seolah-olah sedang bergurau sesama sendiri di tepi jejantas berhampiran persimpangan jalan berkenaan tanpa menyedari ia sebenarnya kes samun berkumpulan,” katanya.

Katanya, dia mula sedar berlaku kejadian jenayah apabila mangsa menjerit mengatakan duitnya dicuri manakala sekumpulan enam lelaki dilihat bertempiaran melarikan diri. SUMBER
More

Sheila mahu besarkan sendiri anak luar nikah

0 ulasan
JAKARTA: Walaupun Sheila Marcia lega apabila vokalis kumpulan Drive, Anji, mengaku menjadi bapa anak dilahirkannya, aktres itu bertegas enggan berkahwin dengan lelaki terbabit.
“Saya dan ibu lega akhirnya Anji mengaku menjadi bapa kandung anak saya, Leticia, tapi ingin ditegaskan di sini, saya yang mengandungkan bayi ini sembilan bulan dalam penjara.
“Justeru, jangan ada sesiapa menyangka boleh mengambil Leticia daripada saya,” katanya semalam.

Sheila dibebaskan dari penjara awal Februari lalu selepas didapati memiliki dadah dalam serbuan polis di sebuah apartmen di Jakarta tahun lalu.

Anak luar nikahnya, Leticia Charlotte Agraciana , dilahirkan pada 24 Februari.

Walaupun didesak, Sheila enggan menyatakan siapa bertanggungjawab menghamilkannya sehinggalah minggu lalu Anji tampil membuat pengakuan.

Kata Sheila, kini Leticia adalah segala-galanya.

“Ada suami atau tidak, ia bukan masalah selagi Leticia ada di sisi saya,” katanya.

Menurut Sheila, bayi itu dinamakan Leticia yang membawa maksud ‘kemaafan’.

“Saya memang memaafkan Anji sejak lama dulu dan tak pernah memintanya membuat pengakuan terbuka,” katanya. - Agensi SUMBER
More

Juru elektrik dan pemilik kedai didenda RM5,000 miliki DVD dan VCD tanpa kelulusan

0 ulasan

KUALA LUMPUR: Seorang juru elektrik hari ini didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki 266 keping DVD berbahasa Inggeris pelbagai tajuk yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem, dua hari lalu.
Majistret Nor Azah Kasran mengenakan denda itu terhadap Man Kok Wah, 24, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Man didakwa memiliki 266 keping DVD berkenaan tanpa perakuan 'Sijil B' di pasar malam Jalan Manis 2, Taman Segar, Cheras pada jam 8.15 malam, 10 April 2010.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen (6)(2)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Kok Wah yang tidak diwakili peguam meminta hukuman minimum dikenakan ke atasnya memandangkan dia hanya berpendapatan RM700 sebulan serta perlu menyara isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Insp R Rukumar.


Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, seorang pemilik kedai warga Bangladesh juga didenda RM5,000 kerana menyimpan 583 keping DVD dan VCD yang belum diluluskan mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

MM Mamoon UR Rashid, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Dia menjelaskan denda itu.

MM Mamoon, didakwa menyimpan sebanyak 268 filem pelbagai tajuk dalam bentuk DVD dan 315 filem pelbagai tajuk dalam bentuk VCD yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem di premisnya di Beaupoint Interior Design Sdn Bhd di Jalan Tun Tan Siew Sin, Sentul pada 4 petang, 10 April lalu.


Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwaan dari Kementerian Dalam Negeri Mohamad Ibrahim.-Bernama SUMBER

More

Tujuh rumah kedai di Bedong hangus dijilat api

0 ulasan

SUNGAI PETANI: Tujuh rumah kedai di Pekan Bedong dekat sini hangus dijilat api dalam satu kebakaran malam tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Sungai Petani, Anwar Zaini Zakaria berkata antara kedai yang terbakar pada kejadian pukul 8.45 malam itu ialah kedai makan, kedai perabot, kedai motosikal dan kedai cat.
Katanya, lima kenderaan bomba dengan lebih 20 anggota dari Balai Bomba Sungai Petani dan Guar Cempedak serta bantuan bomba sukarela dapat mengawal kebakaran dari merebak dalam masa hampir sejam.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, dua beranak terselamat dari terperangkap dalam kedai yang terbakar ekoran tindakan pantas seorang rakan yang menghubungi mereka melalui telefon bimbit.

Kooi Kian Hok, 62, sempat membawa ibunya Lim Chu Hong, 82, keluar dari rumah yang sedang dijilat api.


"Saya bertindak segera membawa ibu keluar dari kedai yang sedang terbakar dan terpaksa meredah api yang semakin marak setelah menerima panggilan kawan saya yang beritahu kedai kami sedang terbakar", katanya ketika ditemui.

Kooi berkata, ketika kejadian, beliau sedang makan bersama ibunya dalam kedai basikal milik adiknya itu.

Seorang mangsa kebakaran itu, Tan Tau Tek, 62, yang menjalankan perniagaan menjual dan membaiki motosikal berkata beliau kesal kerana ketika kejadian itu terdapat orang yang mengambil kesempatan untuk mencuri alat ganti motosikal miliknya.
More

Hanya kerana RM300 sarjan dipenjara 18 bulan, denda RM10,000

0 ulasan

IPOH: Hanya kerana menerima suapan RM300 seorang anggota polis berpangkat Sarjan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu hari ini selepas Megat Ahmad Megat Jaafar, 55, yang dibicarakan dan didapati bersalah menerima suapan itu daripada Rosli Baharom supaya memberitahu keluarga (Rosli) bahawa Rosli sedang ditahan polis kerana memiliki dadah.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Narkotik, Balai Polis Sitiawan didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Idris Shah, Manjung pada 1.35 tengah hari pada 7 Julai 2005.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan hukuman ke atas tertuduh yang dibuat peguam Abdul Roni Rahman yang mewakilinya kerana mahu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Azhaniz Teh menetapkan ikat jamin tertuduh sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin baru. Sebelum itu, Abdul Roni memohon kepada mahkamah supaya mempertimbangkan kepentingan awam serta kepentingan peribadi tertuduh yang berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan polis sebelum menjatuhkan hukuman yang setimpal.

"Jumlah yang terbabit hanya RM300 tetapi akibat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, denda dan hukuman penjara yang akan dijatuhkan mengganggu fikiran dan kesihatannya. Tertuduh juga akan kehilangan ganjaran dan faedah berpencen yang merupakan satu bentuk hukuman secara tidak langsung." katanya.


Pegawai Pendakwa SPRM Hamzah Mohd Aris bagaimanapun berkata, rasuah adalah satu jenayah yang serius dan hukuman yang berat perlu dijatuhkan berdasarkan falsafah dan tujuannya.

"Tertuduh juga seorang anggota penguatkuasa yang sering digeruni tetapi dengan mengamalkan rasuah ia menjejaskan imej baik pasukan polis. Jadi pendakwaan memohon mahkamah tidak meletakkan asas simpati dalam menjatuhkan hukuman," katanya.

Hukuman berat yang dikenakan juga akan menghantar mesej kepada orang awam bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan jenayah rasuah ini, katanya.
More

Lebih 365 wanita terbabit kes keldai dadah

0 ulasan

KUALA LUMPUR: Lebih 365 wanita rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit menjadi "keldai dadah" sejak hampir 20 tahun lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Senator A Kohilan Pillay berkata, jumlah itu adalah lebih separuh daripada 729 rakyat Malaysia yang ditahan atas kesalahan dadah di luar negara. "Sejak 1991 hingga Mac 2010, sebanyak 1,560 kes dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan jenayah, termasuk 729 kes kesalahan dadah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar.
Kohilan berkata, sebuah Tabung Amanah Rakyat Malaysia diwujudkan bagi memberi bantuan guaman dan kewangan melalui perwakilan-perwakilan Malaysia serta membawa pulang rakyat Malaysia yang dibebaskan daripada tahanan.

Bagi menangani gejala "keldai dadah", beliau menggesa agensi-agensi berkaitan seperti Kastam, Imigresen dan Polis supaya mengetatkan lagi kawalan keselamatan di semua pintu keluar masuk lapangan terbang antarabangsa di negara ini. "Di pihak kementerian, Wisma Putra baru-baru ini menerusi siaran langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) dalam segmen dialog keldai dadah telah menasihati terutamanya ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak atau teraniaya dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan," katanya. -Bernama SUMBER
More

Dua pelajar menang tempat pertama reka cipta sains di China

0 ulasan

BUKIT MERTAJAM: Dua pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) di sini yang mewakili Malaysia pada pertandingan Reka Cipta Sains Remaja Beijing di China baru-baru ini mengharumkan nama negara selepas memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu.

Mas Aidil Mas Rosemal Hakim, 18 dan Nurein Ardini Samsuri, 16, memperoleh kejayaan itu menerusi hasil ciptaan mereka yang dikenali sebagai MoBanT Fibre, iaitu serat daripada batang pisang yang mampu menyerap minyak dalam air bagi mengelak pencemaran alam sekitar terutama di laut.
Menurut Nurein mereka mendapat ilham untuk mencipta produk itu selepas melawat rumah Mas Aidil yang mana ibu bapanya hanya membuang begitu sahaja batang pisang selepas mengambil buahnya.

"Jadi, kami pun membuat kajian mengenainya dan mengambil masa selama satu tahun setengah untuk melakukan proses penyelidikan dan kajian (R&D) dengan bantuan pelbagai pihak antaranya Universiti Sains Malaysia (USM) serta guru penasihat, Go Seow Ann," katanya pada sidang akhbar di SMSTSSS di sini hari ini.

Selain tempat pertama, pasangan berkenaan turut memenangi anugerah istimewa daripada Syarikat Semia, sebuah syarikat di China, pada pertandingan yang menyaksikan sebanyak 1,268 projek mengambil bahagian.

Pertandingan anjuran Beijing Association for Science and Technology itu disertai pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan New Zealand dan Australia yang berlangsung pada 17 hingga 23 Mac lalu. SUMBER
More

Penganggur simbah cuka getah pada isteri dipenjara 6 tahun, 2 sebatan

0 ulasan

KUANTAN: Seorang penggangur dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyimbah cuka getah pada isterinya, Rabu lalu.
Supian Hani Ismail, 47, dilihat tenang selepas Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu yang berkuatkuasa hari ini.
Dalam penghakimannya, Irwan berkata, mahkamah memandang serius kesalahan yang dilakukan tertuduh yang sepatutnya menjadi pelindung kepada isterinya.

Supian Hani didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Zarina Wahab, 43, dengan menggunakan apa-apa benda yang melecur iaitu cuka getah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 67, Felda 2 Bukit Sagu di sini antara 12.30 malam hingga 2 pagi, 7 April lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah meminta mengadakan hubungan kelamin namun ditolak isterinya sebelum dia bertindak menyimbah cuka getah kepada mangsa.


Hasil pemeriksaan awal Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mendapati mangsa mengalami lapan peratus kesan terbakar di bahagian kiri badan termasuk bawah dagu dan tangan. Terdahulu, Supiah Hani yang tidak diwakili peguam memohon diringankan hukuman ke atasnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsudin dan Heng Yen Loo memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh telah menyebabkan kecederaan kekal terhadap isterinya sendiri.

Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mengambil kira kesakitan serta kesedihan mangsa yang kehilangan maruah dan harga diri selepas kes itu mendapat liputan meluas media. -Bernama SUMBER
More